Thursday 8 September 2016

Filled Under:

dj dan pengacara tv tuntut ganti rugi dari pihak lelaki yang membatalkan perkahwinan

dj dan pengacara tv tuntut ganti rugi dari pihak lelaki yang membatalkan perkahwinan
Oleh Ahmad Nazib Johari AIDA (bukan nama sebenar) bertunang dengan seorang lelaki pilihan sendiri dan hari pernikahan sudah ditetapkan. Beliau sekeluarga berbelanja untuk membuat persiapan perkahwinan termasuk membayar deposit majlis makan, mencetak kad jemputan dan menempah baju serta pelamin Bagaimanapun, sebulan sebelum perkahwinan dijadualkan berlangsung keluarga lelaki membatalkan hasrat untuk meneruskan perkahwinan atas alasan masih belum bersedia dan tidak mempunyai pekerjaan tetap bagi menanggung isteri.
Apakah hak Aida berdasarkan undang-undang? Ruangan ini akan membincangkan isu membabitkan urusan pertunangan dan ikatan pertunangan yang diputuskan oleh salah satu pihak.
Dalam kes Aida, pertunangan diputuskan pihak lelaki sedangkan semua keperluan untuk berkahwin sudah disediakan pihak perempuan.
Pertunangan bermaksud melahirkan hasrat ingin berkahwin dengan seseorang perempuan tertentu dan perkara ini dinyatakan sama ada kepada perempuan berkenaan atau penjaganya (wali).
Hal ini boleh dilakukan sendiri lelaki berkenaan atau menerusi orang tengah. Jika pihak perempuan atau keluarganya bersetuju dengan hasrat lelaki itu, maka terlaksana pertunangan di antara pasangan berkenaan. Ekoran daripada itu, mereka secara terus tertakluk kepada peraturan dan hukum syarak.
Pertunangan hanya satu perjanjian untuk mengadakan perkahwinan dan tidak akan mewujudkan perkahwinan itu sendiri. Oleh itu, mana-mana pihak berhak untuk membatalkan perjanjian jika ada sebab dan alasan yang sah bagi membolehkannya berbuat sedemikian.
Jika tiada sebab dan alasan munasabah, maka perjanjian seperti itu tidak diharuskan dibatalkan berdasarkan firman Allah bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, tunaikanlah segala janji-janji kamu….” (Surah al-Ma’idah, ayat 1)
Dari segi akhlak, pasangan bertunang digalakkan tidak membatalkan pertunangan mereka kecuali dalam keadaan terdesak dan tidak dapat dielakkan demi memelihara nama baik perempuan dan keluarganya.
Maka, tidak seharusnya seorang lelaki itu mengubah fikirannya membatalkan pertunangan kerana itu dianggap memungkiri janji. Biarpun pembatalan pertunangan perlu kerana beberapa faktor munasabah, namun elok dilakukan lebih awal kerana cara demikian adalah baik sama ada dari sudut hukum syarak mahupun dari sudut adat.
Mungkir janji untuk berkahwin antara pasangan Islam yang bertunang boleh dituntut di Mahkamah Syariah. Akta Perlembagaan (Pindaan) 1988 memasukkan peruntukkan baru iaitu Perkara 121 (1A) ke dalam Perlembagaan yang menyatakan bahawa mahkamah sivil tidak mempunyai bidang kuasa berkenaan dengan apa-apa perkara dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Mengikut Seksyen 15 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor ) 2003 memperuntukkan bahawa: “Jika seseorang sudah mengikat pertunangan mengikut Hukum Syarak sama ada secara lisan atau secara bertulis, dan sama ada secara bersendirian atau melalui seorang perantaraan, dan kemudian enggan berkahwin dengan pihak yang satu lagi tanpa sebab-sebab sah, manakala pihak yang satu lagi bersetuju berkahwin dengannya, maka pihak yang mungkir bertanggungjawab memulangkan pemberian pertunangan, jika ada atau nilainya dan membayar apa-apa wang yang dibelanjakan dengan suci hati oleh atau untuk pihak yang satu lagi untuk membuat persediaan bagi perkahwinan itu, dan yang demikian boleh dituntut melalui tindakan dalam Mahkamah”.
Tuntutan boleh dibuat berdasarkan permasalahan ini dengan menuntut ganti rugi di atas segala persiapan perkahwinan yang sudah dilakukan. Mahkamah akan mengambil kira sebab dan alasan yang munasabah mengapa seseorang mengambil keputusan memutuskan pertunangan mereka.
Namun, sekiranya didapati sebab dan alasan itu tidak munasabah, maka tuntutan ganti rugi akan diberikan kepada pihak yang menjadi mangsa dalam perhubungan itu.
Dalam kes Aida, beliau akan mendapat ganti rugi yang diputuskan mahkamah.
Ganti rugi akan ditaksirkan berdasarkan segala perbelanjaan dan persediaan yang sudah dilakukan pihak perempuan berhubung majlis perkahwinan itu. Berdasarkan peruntukkan undang-undang memperuntukkan pihak yang mungkir janji bertanggungjawab memulangkan segala pemberian pertunangan sekiranya masih ada.
Namun, jika barang itu sudah tiada atau sudah diguna maka ia mesti dipulangkan berdasarkan nilai barang itu iaitu dengan membayar wang bagi harga barang berkenaan.
Begitu juga kerugian dialami pihak perempuan yang sudah membayar deposit untuk majlis makan, mencetak kad jemputan dan menempah baju serta pelamin, akan ditaksirkan dan pihak bekas tunang Aida menanggung segala kerugian.
Dalam satu kes yang pernah diputuskan sebelum ini, Aishah lawan Jamaluddin (1978) 3 JH 104. Pihak lelaki (defendan) mungkir janji untuk berkahwin dengan pihak perempuan (plaintif).
Dengan itu,plaintif menuntut pembayaran mas kahwin RM25, belanja kahwin RM800 dan plaintif juga mendakwa dia berhak untuk menyimpan cincin pertunangan. Mahkamah Kadi Besar Negeri Kedah memberi penghakiman kepada plaintif dan memerintahkan defendan membayar ganti rugi mengikut perjanjian pertunangan dan plaintif berhak menyimpan cincin pertunangan.
Mahkamah memerintahkan defendan membayar kepada plaintif sejumlah wang bagi baju yang sudah disiapkan untuk perkahwinan dan RM400 sebagai pembayaran membaiki rumah yang dilakukan bagi persediaan majlis perkahwinan.
Berdasarkan penerangan kes, jelaslah tuntutan boleh dibuat di Mahkamah Syariah oleh pihak yang teraniaya akibat berlakunya mungkir janji untuk berkahwin. Sebarang tuntutan ganti rugi boleh dibuat termasuk apa-apa wang dibelanjakan dengan suci hati untuk membuat persediaan seperti kos menyediakan kad jemputan perkahwinan, membaiki rumah dan sebagainya.
Namun, apabila pertunangan dibatalkan dengan persetujuan kedua-dua pihak, tidak wajar pihak lelaki atau perempuan menuntut balik pemberian masing-masing. Pemberian itu dianggap sebagai hibah atau hadiah dan menjadi hak kepunyaan masing-masing.
Bagaimanapun, tidak menjadi satu kesalahan bagi mana-mana pihak secara sukarela memulangkan kembali pemberian itu dan diterima oleh pihak lain.
Penulis ialah Timbalan Setiausaha Agung, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM). Sebarang komentar, sila kirimkan ke alamat admin@pgsm.org.my





0 comments:

Post a Comment