Hebatnya Wanita, Masih Mampu Bekerja Walaupun Sarat Mengandung
Hari ini, saya menemani isteri pergi ke Hospital Kajang untuk periksa si kembar yang disyaki kekurangan darah. Isteri menyuruh saya hantar dan tinggalkan dia untuk segala urusan pemeriksaan.
Tinggalkan kesemua lima orang anak dengan beliau? Oh no! Oh no! Selaku suami yang tak berapa soleh, saya parking kereta dan gagahkan diri pergi menemani beliau juga. Lagipun saya bawa buku untuk dibaca. Sedaplah sambil jaga anak, sambil membaca buku. Mesti banyak ilmu ni.
Ketika berada di dalam Jabatan Kanak-Kanak dan Wanita Hamil, saya melihat begitu ramai perut berisi berjalan. Ada yang kecil, ada yang besar dan tidak kurang yang di luar jangkauan besarnya. Pasti, pasti ada anak-anak kecil di dalam perut itu. Ketawa saya sendirian sambil menutup mulut.
Memanglah kau tengok banyak perut berjalan. Ini kawasan orang hamil buat pemeriksaan bayi. Boleh pula terlupa.
Tiba-tiba dari kejauhan, saya terlihat ada seorang pegawai polis wanita yang tangannya bergari. Kenapa pula ni? Takdelah beliau tu membawa perut. Nampak slim dan steady saja.
Rupanya, beliau membawa banduan wanita yang hamil. Tersorok sebab duduk di atas kerusi. Harap pegawai polis tersebut maafkan saya kerana tersalah sangka.
Saya merenung wanita tersebut. Mukanya sugul, kelihatan pucat, berambut ikal disanggul rapi. Beliau memakai baju penjara yang menampakkan jelas perut yang membesar. Apa kesalahan yang dilakukan oleh wanita itu agaknya? Kenapa beliau digari?
Saya merasa sangat ralat. Rasa kesedihan yang tidak tertanggung melihat suasana itu. Seorang wanita yang menjalani pertuduhan dan tergari, datang untuk memeriksa kandungan bayi. Siapa bapanya? Di mana suaminya berada?
Bukan sahaja seorang, bahkan ada tiga orang wanita yang bergari dengan keadaan yang sama! Mereka datang untuk memeriksa kehamilan. Mereka semua adalah bangsa kita, bangsa Melayu yang disanjung tinggi dan dihormati, bergari dan membawa perut.
Saya tidak keruan, muncul satu perasaan bersyukur memandang anak-anak yang berada di hadapan sedang leka bermain dan bergurau sesama mereka sambil sesekali memanggil ibu mereka yang berada di sisi saya.
Untung dan bertuahnya kita tidak tinggal di dalam situasi mereka. Kita tidak berada di situ, kita tidak tahu apa kisah sebenar mereka digari dan ditangkap.
Namun, ianya tidak berakhir di situ. Ketika dipanggil doktor untuk menerangkan tentang penyakit yang melanda anak saya, saya melihat beliau agak termengah-mengah bercakap.
"Dah kenapa Doktor ni? Macam tak sihat?" soal saja jujur.
Beliau tersenyum. Seketika, beliau bingkas bangun dan menunjukkan kepada saya arah katil, buat saya letakkan si kembar bagi sesi pemeriksaan. Lalu saya ternampak perut beliau.
Hamil!!
"Baru tujuh bulan, itu yang mengah sikit ni Encik Lutfi," ujar beliau sambil menguntumkan senyuman kepada saya.
Subhanallah! MasyaAllah! Hebatnya. Kalaulah saya mengandung, pasti semua pesakit yang tidak kena dengan saya akan dimarahi. Pasti! Sedangkan mengandung kekal lima bulan sekarang ini pun dah rasa mengah dan penat.
Benarlah, benarlah Allah telah meletakkan perempuan selayaknya dengan kesabaran mereka. Sehebatnya dengan tanggungan mereka. Mereka mampu, tabah, cekal dan tahan dengan ujian.
Ya Rabb, Engkau ampunilah kesmua wanita yang menjalani kesengsaraan mengandung dan melahirkan anak-anak yang suci dan penyambung umat Muhammad ini. Rahmatilah mereka, lindungilah mereka dan berikanlah mereka kesihatan dan keselamatan termasuk ibu kami semua ya Allah.
"Nanti next appointment pada bulan November ya Tuan," ujar jururawat yang bertugas menulis di kaunter.
Saya memandang rakannya yang berada di tepi. Mengandung juga! Tetapi masih gagah menulis dan menaip di komputer sambil melayan pertanyaan ibubapa. Apa ni? Kuatnya mereka? Tak penat ke bekerja? Saya bersyukur saya masih seorang lelaki. - Lutfi Lokman
0 comments:
Post a Comment